suria

Imigresen Selamat 31 Wanita Filipina Daripada Diperdagang

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menyelamatkan 31 wanita warga Filipina yang disyaki mangsa pemerdagangan orang oleh satu sindiket di Kuala Lumpur.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata dalam operasi 4.30 petang semalam itu, pihaknya turut menahan dua wanita juga rakyat Filipina, yang dipercayai bersubahat dengan sindiket.

Operasi di sebuah kondominium di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail itu dilakukan pasukan khas Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran susulan risikan, katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

"Berdasarkan risikan yang telah dijalankan mendapati wanita terbabit disimpan (dikurung) di dua unit kediaman di kondominium itu yang dikawal oleh anggota sindiket serta lengkap dengan kamera litar tertutup," katanya.

Setiap hari kesemua wanita terbabit akan dihantar bekerja di pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan dibawa pulang ke premis itu oleh anggota sindiket sebaik habis bekerja.

Beliau berkata semasa serbuan kesemua wanita itu berada di dalam premis, dipercayai sedang menunggu untuk dihantar ke tempat mereka bekerja.

Semasa pemeriksaan dijalankan katanya, kesemua wanita tersebut tidak mempunyai pasport asal dan sebahagiannya pula mempunyai salinan muka hadapan pasport.

Mohd Zamberi berkata mereka dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan ada beberapa yang disyaki sebagai pelajar di pusat bahasa. "Semua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain