suria

Anggota Polis Maut Kereta Rempuh Rumah Kedai

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis maut setelah kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh sebuah rumah kedai di Jalan Sultan Mahmud, di sini awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, L/Kpl Shahrizal Muhammad, 30, yang berasal dari Kampung Banggol, Tok Jiring di sini dalam perjalanan ke tempat bertugas di Seri Iman iaitu kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Batu Burok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Abdul Halim Ishak berkata dalam perjalanan dari Balai Polis Kuala Terengganu, mangsa dikatakan tertinggal barang di rumah sewanya di Kampung Kuala Ibai sebelum berpatah balik ke rumahnya.

Beliau berkata apabila tiba di tempat kejadian, kereta Proton Inspira yang dipandu mangsa hilang kawalan dan merempuh sebuah rumah kedai berhampiran.

"Akibat rempuhan kuat itu nyaris meragut nyawa keluarga pemilik rumah kedai itu yang sedang nyenyak tidur. "Mangsa yang tersepit kira-kira 45 minit dalam kereta berjaya dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Abdul Halim berkata mangsa yang cedera parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, namun disahkan meninggal dunia kira-kira 5.25 pagi tadi.

Jenazah bapa kepada dua cahaya mata itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot selepas solat Jumaat.

Sementara itu, pemilik rumah kedai berkenaan Hamzah Harun berkata ketika kejadian dia bersama isteri dan anaknya sedang tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan bekalan elektrik di rumahnya tiba-tiba terputus.

Beliau berkata sebaik menjengah keluar, mereka melihat sebuah kereta sudah berada di dalam kedai makan mereka. "Ketika itu enjin kereta itu masih hidup dan kami terkejut kerana di dalamnya ada seorang anggota polis yang lengkap beruniform.

"Akibat rempuhan itu, semua peralatan perniagaan seperti kerusi, meja dan pinggan mangkuk musnah," katanya bahawa kejadian itu adalah kali keempat rumah kedainya dirempuh kenderaan sejak berniaga di situ 16 tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain