suria

Pesara Guru Disamun Tiga Lelaki Bersenjatakan Parang

KUANTAN: Seorang pesara guru wanita kerugian hampir RM40,000 termasuk sebuah Proton Waja selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di Kampung Sebooi, dekat Temerloh.

Dalam kejadian 4.30 pagi Rabu, mangsa, 59, turut diikat dikaki dan tangan dengan tali selain mukanya diserkup selimut oleh suspek.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Noor Mansor, mangsa yang tinggal bersendirian itu dikejutkan suspek yang masuk ke bilik tidurnya sebelum mengacukan parang ke lehernya.

"Suspek kemudiannya mengikat dan serkup kepala mangsa dengan selimut sebelum menggeledah rumah mangsa.

"Suspek mengambil pelbagai jenis barang kemas, wang tunai yang disimpan dalam almari termasuk kunci kereta mangsa.

"Tiga suspek terbabit melarikan diri dengan menaiki kenderaan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Kata beliau, selepas dapat menyelamatkan diri, wanita itu kemudiannya meminta bantuan jiran untuk menghubungi polis.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah mangsa melalui tingkap bahagian dapur yang diumpil. - BERNAMA

Artikel Lain