suria

MCA Teman Sejati Dalam BN - Muhyiddin

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MCA adalah teman sejati dalam Barisan Nasional (BN) kerana sanggup mengharungi pelbagai susah senang bersama lebih-lebih lagi ketika mengharungi keadaan politik yang mencabar pada masa kini.

Beliau berkata bagaimana sukar keadaan sekalipun, MCA tidak pernah keluar daripada BN dan kesanggupan itu telah mengukuhkan dan mengeratkan lagi hubungan antara parti komponen sekaligus menjadikan parti BN bertambah kuat.

"Kita ada semangat kekeluargaan dan yang penting zaman susah kita sama-sama susah, MCA tidak ada mahu keluar BN pun, ia tetap sebahagian anggota BN dan selama-lamanya menjadi komponen penting dalam BN.

"Sehubungan itu masyarakat Cina harus terus beri sokongan kepada BN kerana telah terbukti BN membawa banyak kemajuan kepada sosial, ekonomi dan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita MCA Bahagian Pagoh 2012 di Dewan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Pekan Lenga, dekat sini, Khamis.

Menurutnya keadaan sebaliknya berlaku kepada pembangkang khususnya DAP yang hanya pandai menabur pelbagai janji kosong, namun gagal menyelesaikan masalah rakyat.

Muhyiddin berkata akhbar Cina juga harus memainkan peranan positif dan tidak tersalah lapor atau menyiarkan berita tidak betul yang boleh menimbulkan rakyat kemarahan terhadap kerajaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan telahpun membelanjakan RM16 bilion untuk 18 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), rumah ibadat dan pelbagai keperluan lain masyarakat berkenaan di daerah Muar untuk tempoh tiga tahun lepas.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyerahkan sumbangan RM390,000 untuk keperluan empat buah SJKC di daerah ini.

Terdahulu, Muhyiddin turut menyertai majlis bacaan Yasin dan tahlil serta penyampaian sumbangan kepada surau serta masjid di kawasan Parlimen Pagoh sempena bulan Ramadan di Masjid Kampung Olak Sepam, di sini.

Setiap surau menerima sumbangan peribadi daripada Muhyiddin iaitu RM1,000 dan masjid RM2,000 selain bantuan makanan daripada kerajaan sempena bulan puasa. - BERNAMA

Artikel Lain