suria

Kerajaan Persekutuan Utamakan Rakyat Bukan Parti - Shafie

ALOR SETAR: Kerajaan persekutuan lebih mengutamakan kepentingan rakyat berbanding parti kerana rakyat perlukan sokongan pemerintah sama ada di peringkat pusat atau negeri tanpa mengira fahaman politik, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, tindakan mementingkan parti sehingga mengabaikan rakyat boleh melahirkan ketaksuban dan menanam nilai-nilai yang tidak sihat.

"Saya melihat bahawa penerapan nilai-nilai tidak sihat di kalangan rakyat melahirkan ketaksuban dari segi politik dan nilai-nilai kurang sihat di kalangan rakyat. "Contohnya di Kedah, pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) membeli saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), pegawai itu bertindak bijak sebab ia dapat beri keuntungan kepada perbadanan," beliau mengulas arahan penjualan semula unit saham FGVH oleh kerajaan negeri Kedah yang dilaporkan pada Rabu.

Mohd Shafie berkata, disebabkan terlalu taksub dan lebih mengutamakan parti, kerajaan negeri tidak nampak kebaikan di sebalik pembelian saham itu dan mengarahkan PKNK menjual kembali unit yang telah dibeli. Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit dekat sini, Khamis.

"Seperti masalah air di Selangor, ini sebenarnya masalah rakyat... apa yang perlu diatasi ialah dengan mewujudkan pusat perawatan air, tak perlu belanja RM10 bilion untuk ambil alih syarikat. "Kalau ikut kuasa kita banyak benda tak boleh jalan di Selangor dan Kedah, tapi itu bukan pertimbangan kita... kita melihat keperluan rakyat bukan setakat keperluan parti kita sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata peranan Kemas amat penting bukan sahaja dalam usaha membangunkan negara, malah membantu melahirkan modal insan berkeupayaan melalui latihan yang disediakan jabatan itu.

Katanya, tugas pegawai serta kakitangan Kemas bukan sahaja tertumpu kepada mendidik kanak-kanak malah membantu golongan dewasa khususnya dengan menyediakan kelas-kelas kemahiran.

Terdahulu seramai 110 kakitangan Kemas negeri menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang masing-masing, pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd Amin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah. -BERNAMA

Artikel Lain