suria

Jumlah Peserta 1MDB Dinaikkan Kepada 400 - PM

SERDANG: Jumlah imam serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditawar mengerjakan haji di bawah penajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tahun ini dinaikkan kepada 400 orang, berbanding kira-kira 100 orang tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan itu semasa berucap di Majlis Perhimpunan Perdana Warga Imam dan Jawatankuasa Masjid seluruh negara bersama Perdana Menteri di Dewan Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, Khamis.

Beliau turut mengumumkan pemberian kain kepada 14,254 imam serta 138,746 anggota jawatankuasa masjid di seluruh negara untuk dibuat jubah, di samping dua tong air zam-zam kepada semua masjid di seluruh negara.

Menurutnya kain dari jenis yang cukup berkualiti itu dipilihnya sendiri dan diberikan awal agar penerima dapat membuat jubah khas untuk dipakai pada sambutan 1 Syawal.

Najib berkata kerajaan sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat, termasuk para imam serta guru-guru agama yang selama ini bekerja keras bertungkus lumus sentiasa berjuang demi memartabatkan syiar Islam di seluruh pelusuk negara.

"Mereka menjadi nadi dan tunjang kepada perkembangan syiar Islam sejak sekian lama tanpa pernah meminta yang bukan-bukan daripada kerajaan, malah elaun yang diterima sebelum ini tidak pernah diungkit berbanding tugas serta peranan yang dicurahkan mereka yang cukup besar," katanya.

".... kerana amat penting bagi para imam untuk bergerak bahu ke bahu, seiring dengan kerajaan untuk capai impian negara yang cukup besar, untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020," tambahnya.

Perdana Menteri berkata transformasi yang sedang digerakkan dalam negara adalah selaras dengan istilah 'Islah' yang merujuk kepada pembaharuan besar ke arah kebaikan yang sentiasa diperjuangkan kerajaan.

Beliau berkata perjuangan membawa pembaharuan inilah yang membawa kepada penampilan pelbagai inisiatif kerajaan seperti BR1M, KR1M, bantuan pendidikan buat murid sekolah, malah Kedai Kain 1Malaysia, dan banyak lagi.

Perdana Menteri seterusnya mengajak semua pihak supaya menjadi kumpulan 'Muslihun', yang merujuk kepada pemupukan aspek perpaduan kaum, dan bukannya menjadi kumpulan 'Mufsidun' yang lebih kepada tindakan untuk merosakkan atau memecahbelahkan, dan beliau merujuk demonstrasi Bersih di ibu kota beberapa bulan lepas sebagai kumpulan Musfidun ini.

Beliau berkata sekiranya ada pihak yang tidak sependapat dengan kerajaan, mereka seharusnya berhimpun dengan cara yang aman, berlandaskan prinsip undang-undang, dan bukannya bertindak dengan cara yang merosakkan.

"Membantah dengan cara yang berhemah dan beradab. Bukankah itu juga tuntutan agama. Bila demonstrasi diadakan di kota suci Mekah dan Madinah pula, ia merosakkan imej Islam di mata dunia. Lebih buruk lagi kemungkinan kuota haji untuk negara pula ditarik balik oleh kerajaan Arab Saudi," katanya.

Najib berkata beliau sudah berusaha menerusi saluran tertutup disebabkan hubungan rapat dengan Raja Arab Saudi Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud, dan menyampaikan laporan sebenarnya mengenai demonstrasi di kota suci itu, kerana kerajaan khuatir dengan kemungkinan ribuan jemaah haji dari Malaysia tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun ini. "Tapi kerana tindakan kita menjelaskan situasi sebenar, (ia) meyakinkan kerajaan Arab Saudi supaya tidak menarik kuota haji dari Malaysia, Alhamdulillah, ini perjuangan kita," katanya.

Perdana Menteri seterusnya mengingatkan semua pihak supaya tidak mencemar kesucian masjid dengan menjadikan ia sebagai tempat untuk mencari pengaruh atau melontar perasaan benci kepada pihak tertentu.

Beliau berkata masjid adalah tempat melakukan ibadah dengan tenang dan tenteranm jiwa, tempat untuk berdakwah dan mengajak orang ramai ke arah kebaikan.

Turut hadir dalam perjumpaan yang menghimpunkan kira-kira 11,000 imam serta AJK masjid pada pagi ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum, Timbalannya Datuk Dr Mashitah Ibrahim serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustafa. -BERNAMA

Artikel Lain