suria

Dakwat Kekal Mandatori, Jamin Tidak Tarik Balik - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan dakwat kekal ketika proses pengundian akan tetap digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Sambil menolak dakwaan bahawa penggunaannya akan ditarik balik pada saat-saat akhir, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata dakwat kekal adalah mandatori bagi semua pengundi.

"Ada yang membuat spekulasi dan andaian bahawa penggunaan dakwat kekal akan dibatalkan seperti yang berlaku pada 2008.

"Saya beri jaminan ia akan digunakan pada PRU-13 akan datang...penggunaannya adalah mandatori dan bukannya pilihan," katanya pada sesi taklimat semasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik di sini, Khamis.

Pada PRU-12, SPR mengumumkan penggunaan dakwat kekal dibatalkan lima hari sebelum hari pengundian 8 Mac 2008 atas faktor keselamatan.

Penggunaan dakwat kekal selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 yang diwartakan pada 13 Februari 2012 dan mula berkuatkuasa pada 15 Februari 2012.

SPR Sebelum ini mengumumkan akan menggunakan dua jenis dakwat kekal yang berbeza untuk dicalitkan pada jari pengundi awal seperti pengundi pos melibatkan anggota keselamatan dengan pengundi biasa.

Malah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Januari lalu telah memutuskan bahawa penggunaan dakwat kekal oleh SPR sebagai harus dan kandungan sampel dakwat yang dikemukakan agensi itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Artikel Lain