suria

Dakwaan PM Campur Tangan Dalam Pemberian Projek Lanjutan LRT Ampang Tidak Berasas - Prasarana

KUALA LUMPUR: Dakwaan dalam media yang mengatakan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, campur tangan dalam pemberian projek lanjutan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang tidak berasas dan tidak patut.

Sebaliknya, kerajaan masih dalam proses melaksanakan kajian usaha wajar projek bernilai berbilion ringgit itu, kata Pengurus Media Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana), Azhar Ghazali, dalam satu kenyataan, Khamis.

"Sebagai Pengerusi bagi pemberian tender melebihi RM300 juta, Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, berkewajipan menimbangkan semua cadangan dan memutuskan bersama dengan ahli jawatankuasa mengenai pemberian projek itu atau mendapatkan lebih banyak penjelasan jika perlu daripada tender berkenaan.

"Adalah tidak adil menyalah tafsir proses yang wajar dengan menggunakan istilah seperti "campur tangan" sedangkan jawatankuasa itu diberikan kuasa untuk membuat keputusan yang perlu," katanya.

Prasarana, pengendali dan pemilik aset projek lanjutan Laluan LRT itu menyuarakan kebimbangan tentang kenyataan-kenyataan yang dibuat dalam media oleh pelbagai pihak yang mengatakan kerajaan mengganggu proses pemberian kontrak lanjutan LRT laluan Ampang itu.

Sambil menganggap dakwaan sedemikian sebagai tidak adil, Azhar berkata setakat ini tiada keputusan muktamad telah dibuat mengenai pemberian kontrak itu.

Satu pengumuman rasmi mengenai pemberian projek itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan apabila semua perkara berhubung kontrak itu telah dipertimbang dan dikaji, katanya.

Prasarana, yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan, berkata proses penilaian tender, cadangan dan pemberian projek merupakan prerogatif kementerian itu.

Dalam proses penilaian tender, kecekapan teknikal setiap penender dikaji, manakala pemerhatian direkodkan sekiranya ada kelemahan yang didapati dalam penyerahan tender.

Akhirnya, hasil daripada penilaian teknikal akan menunjukkan kedudukan lulus atau gagal setiap penender, dan seterusnya keupayaan melaksanakan projek itu, katanya.

Contohnya, seorang pembida mestilah mengemukakan harga rendah; tetapi tidak menepati syarat tender sepenuhnya atau dengan melayakkan diri atau menyeleweng daripada syarat-syarat kontrak yang ditetapkan, dan justeru itu bida demikian perlu ditapis dengan teliti kerana ia mungkin bukan yang terbaik bagi kepentingan Prasarana.

Prasarana berkata proses pemberian kontrak itu tidak semestinya selesai dalam satu sesi perbincangan kerana ada kalanya penjelasan perlu diperoleh untuk memastikan semua perspektif diberikan pertimbangan sewajarnya sebelum keputusan muktamad bagi pemberian kontrak itu dibuat.

Pada peringkat ini, katanya, kerajaan akan meneliti semua cadangan yang dibuat dan akan mendapatkan penjelasan selanjutnya.

Azhar berkata perbincangan dan pembahasan ini mungkin mengambil beberapa pusingan dan barangkali itulah yang dispekulasikan oleh pasaran tentang "gambaran awal" sebelum keputusan muktamad dibuat tentang pemberian kontrak itu.

Maklumat kemas kini dan penjelasan-penjelasan itu bertujuan memastikan semua kebimbangan bersandarkan fakta yang diperlukan sebelum sebarang pemberian kontrak diputuskan.

"Kerajaan tidak berkewajipan untuk memberikan kontrak kepada bida terendah, sebaliknya ia melihat pada keseluruhan tawaran dan menimbangkan faedah optimum kepada projek itu dalam jangka panjang," tegasnya.

AMG Systems adalah sebahagian daripada projek lanjutan laluan AMG yang, di bawahnya, sistem baharu akan dipasang bagi landasan sambungan, manakala landasan sedia ada akan dinaikkan taraf untuk memastikan prestasi yang setanding, dan penyepaduan optimum bagi operasi tren yang lancar apabila siap pada 2015.

Skop di bawah AMG Systems adalah jenis pelbagai disiplin, tidak kurang daripada tujuh sub-sistem utama yang mesti diuji, dilaksanakan dan disepadukan (isyarat, kerja-kerja landasan dan landasan ketiga, bekalan kuasa, COMMS, SCADA, kelengkapan depoh, dsb).

Bagi skop yang begitu kompleks dan pelbagai, kata Azhar tiada satupun kontraktor yang boleh memenuhi keperluan projek itu sendirian.

Dengan demikian konsortium atau usaha sama dibentuk untuk melaksanakan kerja-kerja itu.

Kerjasama itu akan melibatkan kepakaran tempatan dan asing, setiap ahli konsortium atau usaha sama akan melengkapi kekuatan ahli lain dan bersama menawarkan cadangan bernilai seperti yang diperlukan di bawah tender itu.

"Bagi AMG Systems, tiada satu syarikat pun yang mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk menguruskan projek ini sendirian. Malah, semua bida yang dikemukakan terdiri daripada tiga atau lebih perkongsian bagi setiap penender," jelasnya.

Maklumat bocor yang didapati dalam media baru-baru ini tidak memberikan gambaran sepenuhnya dan tidak selengkap yang dijelaskan di sini, katanya.

Maklumat baharu hasil daripada penjelasan ini membatalkan kenyataan sebelum ini.

Azhar berkata: "Kenyataan itu tidak sepatutnya melabelkan kegiatan-kegiatan tertentu sebagai "campur tangan", sedangkan apa yang telah dan sedang dilakukan ialah proses kajian usaha wajar oleh kerajaan."

Semalam, syarikat kejuruteraan, George Kent (M) Bhd, menafikan menerima sebarang petanda tentang pemberian projek Ampang bernilai RM960 juta itu.

Konsortium George Kent yang membida bagi projek itu juga merangkumi China Railway Construction Corp dan Tewet GmbH, sebuah firma perundingan projek.

Selain konsortium George Kent, pembida lain bagi projek itu ialah konsortium Invensys-Balfour Beatty Rail-Ingress, kumpulan Posco-Sojitz-Daewoo International-Thales, Colas-CMC Engineering-Thales, Samsung-LG-Thales, SNC Lavalin-WW Engineering-Bombardier, Siemens-Scomi Engineering dan Ansaldo-Emrail-Leighton.

Prasarana ialah syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan untuk mempermudah, melaksana dan mempercepat projek prasarana awam yang diluluskan oleh kerajaan.

Prasarana dan kumpulan syarikatnya juga merupakan pemilik aset dan pengendali beberapa penyedia pengangkutan awam, iaitu Aliran Ampang dan Kelana Jaya, sistem KL Monorail, dan operasi bas di Lembah Klang dan Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Lain