suria

Beli Belah Di LTA Dan Berpeluang Menang Baucer

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melancarkan kempen membeli-belah "Indulge Till You Fly" (ITYF), kepada pelawat untuk membeli-belah di lapangan terbang dan menang hadiah utama membeli-belah bernilai RM1 juta.

Hadiah utama tahun ini merupakan ganjaran terbesar untuk pelawat ke dan dari Malaysia, kata Faizah Khairuddin, Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Komersil MAHB, di sini pada Khamis.

Menerusi kempen itu, yang berlangsung hingga 28 Februari 2013, pelawat perlu membelanjakan minimum RM250 di mana-mana premis makanan dan minuman atau runcit di lima lapangan terbang antarabangsa yang diurus oleh MAHB di Malaysia.

Lapangan terbang berkenaan ialah Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

Faizah berkata, menerusi belian bernilai RM250 itu, peserta secara automatik layak memperoleh baucer membeli-belah tunai bernilai RM10.

Selain itu, mereka berpeluang memenangi salah satu daripada tujuh hadiah bulanan, masing-masing bernilai RM10,000 dalam bentuk baucer membeli-belah.

Pelawat yang menggunakan kad jenama MasterCard akan menerima baucer tunai berganda dan borang pertandingan, yang menambah peluang untuk menjadi pemenang hadiah utama dan pada masa yang sama berpeluang menerima salah satu daripada tujuh hadiah bulanan.

Faizah berkata, MAHB juga mengguna pakai kaedah yang lebih cekap dan mudah untuk pelawat menyertai kempen itu.

"Kami menyediakan kiosk kempen layan diri di lapangan-lapangan terbang antarabangsa kami bagi membolehkan peserta yang layak menggunakannya.

"Berikutan jumlah penumpang yang semakin meningkat, e-kiosk akan memudahkan peserta dan pada masa yang sama meningkatkan tahap penyertaan," katanya.

Empat puluh unit kiosk layak diri disediakan di lima lapangan terbang antarabangsa berkenaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain