suria

Bekas Kapten Kapal Didakwa Persenda Islam

MELAKA: Seorang bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan mempersendakan agama Islam dengan mengaku sebagai Nabi.

Roslan Abdul Rahman, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Mohd Asri Tahir selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia dituduh mempersendakan agama Islam dengan perkataan "aku ini nabi akhir zaman dan aku mengaku aku Allah" di sebuah rumah di Taman Rembia Perkasa, Alor Gajah dekat sini, kira-kira 3.15 petang, semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Syarie Che Zam Zam Che Man memohon mahkamah mengenakan ikat jamin berjumlah RM4,000 terhadap tertuduh.

Roslan yang memakai jubah putih dan berkopiah bagaimanapun memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai wang.

Mohd Asri kemudian membenarkan Roslan diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 15 Okt depan sebagai tarikh perbicaraan. - BERNAMA

Artikel Lain