suria

Polis Saran Pusat Beli-Belah Sekitar KL Naik Taraf Sistem CCTV

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan pusat membeli-belah disaran supaya segera menaik taraf sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing bagi memudahkan polis membuat rujukan sekiranya sesuatu jenayah berlaku di kawasan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kegagalan CCTV berfungsi sepenuhnya merupakan antara faktor siasatan kes jenayah di pusat membeli-belah tidak dapat diselesaikan segera.

"Untuk itu, saya minta pusat beli-belah menaik taraf CCTV mereka kerana daripada kes-kes jenayah sebelum ini ada CCTV tidak berfungsi dengan baik seperti tidak dapat merakam gambar menyebabkan ia tidak dapat diguna apabila diperlukan polis," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan 89 ketua unit keselamatan 80 pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur di sini Rabu.

Beliau berkata, peranan CCTV dalam menangani jenayah tidak harus diketepikan kerana fungsinya menjadi antara faktor penting yang mampu menyumbang kepada usaha mengurangkan masalah jenayah di pusat beli-belah dan kawasan sekitar yang menjadi tumpuan umum polis ketika ini.

Mohmad berkata, dalam mesyuarat lebih dua jam dengan ketua-ketua unit keselamatan pusat membeli-belah itu, pihaknya telah bersetuju untuk mewujudkan seorang polis perantara bagi setiap pusat membeli-belah bagi memudahkan ketua keselamatan merujuk jika sesuatu kejadian jenayah berlaku.

Beliau turut berpendapat bahawa kereta peronda polis harus dibenarkan memasuki ke kawasan pakir bawah tanah pusat membeli-belah untuk mewujudkan situasi yang polis berada di mana-mana bagi mengurangkan kejadian jenayah.

"Selain itu, saya juga minta pemilik pusat membeli-belah turut mengambil tanggungjawab sendiri bagi mempertingkatkan aspek keselamatan di premis mereka kerana keadaan yang selamat pastinya memberi imej positif kepada pusat perniagaan itu sendiri," katanya.

Mengenai kejadian jenayah yang berlaku di pusat membeli-belah sekitar Kuala Lumpur yang digembar-gemburkan sebagai makin teruk, Mohmad berkata, keadaan sebenar adalah sebaliknya di mana untuk tempoh separuh pertama tahun ini, hanya sembilan kes jenayah yang berlaku iaitu empat kes di pakir bawah tanah dan selebihnya adalah kes di luar premis perniagaan.

"Dengan 80 pusat beli-belah beroperasi di ibu negara, statistik itu dengan sendirinya mencerminkan bahawa keadaan keselamatan masih terkawal, cuma ia menjadi isu kepada masyarakat apabila dilaporkan secara berlebihan oleh pihak tertentu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain