suria

Pengawal Keselamatan Warga Asing Di Pusat Beli-Belah Akan Dilatih

CYBERJAYA: Modul latihan yang bakal dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pengawal keselamatan di pusat beli-belah di seluruh negara turut melibatkan pengawal keselamatan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika latihan itu boleh menambah nilai kemahiran, maka tiada salahnya untuk mereka turut menjalani latihan itu.

"Asalkan mereka bertugas di kawasan menjadi tumpuan tidak kiralah dari mana dan apa latar belakang, boleh menjalani latihan itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Semalam, Hishammuddin berkata lebih 25,000 pengawal keselamatan di pusat beli-belah di seluruh negara akan menerima latihan daripada PDRM dalam usaha kerajaan menangani kes jenayah di premis berkenaan.

Modul latihan akan dibangun secepat mungkin berdasarkan modul latihan polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan setakat ini tiga pusat beli-belah sudah menyatakan komitmen untuk menyertai program itu.

Hishammuddin berkata walaupun tiada paksaan untuk pemilik pusat beli-belah menyertai program itu, jika sesuatu berlaku di premis milik mereka, jangan menyalahkan pihak polis.

"Kalau sudah diberi peluang kenapa tidak mahu ambil dan kemudian akan salahkan pihak polis atau kerajaan tidak adil," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain