suria

Pengawal Keselamaran Warga Asing Akan Diberi Latihan - Mortadza

KUALA LUMPUR: Semua pengawal keselamatan termasuk warga asing akan diberi latihan asas kepolisan sebagai persediaan menangani perlakuan jenayah di pusat beli-belah.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene berkata latihan meliputi antara lain aspek pertahanan diri dan pertolongan cemas bagi memastikan keberkesanan langkah tersebut.

"Ini bukan sekadar latihan biasa, tetapi kita akan latih mereka untuk mahir dalam memberikan pertolongan sekiranya berlaku kecemasan serta bagaimana mengesan penjenayah di pusat beli-belah," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat beli-belah Mid Valley, di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kelmarin yang antara lain berkata semua pengawal keselamatan di pusat beli-belah di seluruh negara akan diberi latihan oleh Polis Diraja Malaysia dalam usaha menangani jenayah di premis terbabit.

Pada masa yang sama Mortadza turut mencadangkan agar pusat beli-belah sediakan kawasan parkir khas untuk wanita bagi menangani kes jenayah terhadap kaum hawa yang banyak dilapor sejak kebelakangan ini.

Langkah itu katanya akan memudahkan pemantauan dan rondaan pihak keselamatan. Mengulas lanjut, beliau berkata pusat beli-belah di negara ini adalah selamat dan pengunjung tidak perlu risau kerana polis kini meningkatkan rondaan di kawasan tumpuan masyarakata.

Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dilaporberkata kes jenayah di pusat beli-belah tidak sebanyak seperti yang dihebahkan di media sosial kerana sehingga kini hanya enam kes berlaku di Selangor dan dua di Kuala Lumpur. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain