suria

Pelajar Siam Diiktiraf Sebagai Bumiputera Untuk Masuk IPTA

KUALA LUMPUR: Masyarakat keturunan Siam menyambut baik pelaksanaan keputusan kerajaan bahawa kemasukan pelajar golongan itu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dipertimbangkan sama seperti Bumiputera lain, mulai tahun ini.

Senator Datuk Boon Som Inong berkata, beliau berharap dengan keputusan itu pelajar-pelajar keturunan Siam yang memenuhi kelayakan dan syarat tidak lagi menghadapi masalah untuk melanjutkan pengajian mereka di IPTA.

Beliau berkata dalam satu kenyataan pada Rabu berikutan keputusan itu pelajar berkenaan layak dipertimbangkan tempat mengikuti program pengajian yang dikhususkan untuk Bumiputera di IPTA pada peringkat Asasi, diploma serta ijazah pertama.

Menurutnya, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung memberitahu Dewan Negara pada Selasa bahawa Jemaah Menteri pada 22 Jun lalu bersetuju bahawa kemasukan pelajar keturunan Siam ke IPTA dilaksanakan secara pentadbiran.

Ini selaras kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan masyarakat Siam di Pendang, Kedah pada 25 Februari lalu bahawa status pelajar dari masyarakat itu bagi kemasukan ke IPTA wajar dipertimbangkan sama seperti Bumiputera lain, katanya yang menjadi wakil masyarakat itu di Dewan Negara.

Boon berkata, beliau membangkitkan perkara itu di Dewan Negara dalam ucapan penangguhannya pada Selasa kerana masih terdapat kekeliruan tentang status anggota masyarakat keturunan Siam sebagai bumiputera.

Beliau berkata, anggota masyarakat keturunan Siam sudah lama layak menjadi anggota parti UMNO dan juga layak melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain