suria

Keputusan Latheefa Letak Jawatan Diserah Kepada PKR

SHAH ALAM: Keputusan peletakan jawatan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Latheefa Koya akan diserahkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkara berhubung peletakan jawatan itu akan dibincangkan di peringkat PKR.

"Kerajaan negeri tidak boleh membuat sebarang keputusan kerana pemilihan setiap ahli majlis dibuat berasaskan penglibatan parti (PKR, DAP dan PAS).

"Kita minta perkara ini dibenarkan untuk dibincangkan di peringkat parti," katanya pada sidang media di bangunan SUK di sini, Rabu.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, keputusan itu akan diserahkan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

"MPN dan MPP PKR akan hubungi beliau sendiri mengenai perkara ini," katanya.

Bagaimanapun, Xavier menggesa Latheefa untuk mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletak jawatan.

Latheefa yang merupakan Ketua Biro Hal Ehwal Guaman Parti Keadilan Rakyat dikatakan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Isnin.

Difahamkan Latheefa meletakkan jawatannya ketika ada ura-ura beliau akan disingkirkan daripada jawatan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain