suria

AirAsia Namakan Pesawat Sempena Lagenda QPR Mendiang Alan McDonald

SEPANG: AirAsia memberi penghormatan kepada lagenda Queens Park Rangers (QPR), mendiang Alan McDonald dengan menamakan sebuah pesawat khas sempena nama bekas kapten dan pembantu pengurus pasukan itu pada satu majlis di sini, Rabu.

Airbus A320 dicat dengan warna kelab bola sepak itu dan menampilkan ikon QPR; jalur biru dan putih sama seperti jersi pasukan itu dalam perlawanan di tempat sendiri.

Bahagian dalam pesawat itu menunjukkan fakta-fakta menarik mengenai QPR dan McDonald.

McDonald, yang menghabiskan masa 17 tahun dengan lebih 500 penampilan untuk kelab itu, meninggal dunia secara mengejut pada 23 Jun ketika berusia 48 tahun, selepas rebah di padang golf di utara Ireland.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Kumpulan Komersial AirAsia, Kathleen Tan.

Kesemua pemain utama QPR termasuk pemain yang baru menandatangani kontrak dengan pasukan itu Park Ji-Sung, Anton Ferdinand, Djibril Cisse dan Fabio Da Silva turut hadir pada majlis itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain