suria

SPAD Dedah Cubaan Pemandu Teksi Seleweng Baucar Tayar

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendedahkan cubaan segelintir pemandu teksi untuk menukar baucar Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) dengan wang tunai.

Justeru Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar memberi peringatan bahawa tindaan cuba menyeleweng baucar subsidi tayar itu boleh mengakibatkan lesen mereka digantung atau kes berkenaan disiasat polis dibawah kesalahan jenayah sekiranya terbukti bersalah.

"Buat masa ini kita hanya menerima aduan tidak rasmi daripada kedai pengedar tayar berkaitan cubaan pemandu teksi untuk menukar baucar bernilai RM520 itu kepada wang tunai dengan pelbagai alasan.

"Walaupun belum ada aduan rasmi mengenainya, kita harap pemandu teksi tidak berbuat demikian kerana pemberian subsidi tersebut adalah demi keselesaan penumpang. Baucar itu memang tidak boleh ditunaikan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Selasa.

Menerusi sidang media itu Syed Hamid turut menayangkan rakaman klip video yang memaparkan cubaan seorang pemandu teksi memujuk pengedar tayar agar baucar miliknya ditukar dengan wang tunai.

Bagaimanapun cubaan itu gagal apabila pengedar tayar terpilih itu enggan bersekongkol dengan pemandu teksi tersebut.

Mengulas lanjut Syed Hamid menasihatkan 69,541 pemandu teksi yang layak menerima baucar tayar itu agar tidak bertindak sedemikian kerana ia akan merosakkan niat kerajaan untuk menolong golongan berkenaan serta demi keselamatan penumpang.

Artikel Lain