suria

Rayuan Hindraf Makkal Shakti Ditolak

PUTRAJAYA: Hindraf Makkal Shakti (Hindraf) pada Selasa gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi memberikannya kebenaran untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan tidak melulus dan mendaftarkan kumpulan itu sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Abu Samah Nordin memutuskan bahawa rayuan Hindraf itu bersifat akademik berikutan surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 22 September tahun lepas menolak permohonannya untuk didaftarkan sebagai sebuah NGO.

Hakim Abu Samah berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi dan bahawa Hindraf tidak menunjukkan bahawa beliau (hakim) telah silap dari segi undang-undang malahan dari segi keputusannya.

Panel, yang turut disertai Hakim-hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Lim Yee Lan sebulat suara menolak rayuan Hindraf dan memerintahkannya membayar kos perundangan RM5,000.

Hindraf merayu terhadap keputusan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim pada 30 Jun tahun lepas yang menafikannya kebenaran untuk memfail semakan kehakiman atas alasan bahawa ROS tidak ada membuat sebarang keputusan berhubung pendaftaran Hindraf.

Setiausaha Hindraf P. Ramesh dalam permohonannya yang difailkan pada 25 Mei tahun lepas menamakan Perdana Menteri; Menteri Dalam Negeri; Pendaftar Pertubuhan (ROS) Malaysia; dan ROS Wilayah Persekutuan sebagai responden.

Peguam P.Uthayakumar, yang juga penasihat Hindraf berkata, Hindraf akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan. BERNAMA

Artikel Lain