suria

Polis Rampas Ecstasy Bernilai RM243,500

GEORGE TOWN: Polis merampas 52 paket dadah jenis ecstasy bernilai RM243,500 dan menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah unit pangsapuri di Tanjung Bungah, di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata 27 paket serbuk ecstasy dan 25 pil itu ditemui dalam kotak berisi minuman keras yang diletakkan dalam sebuah bilik di rumah itu.

"Kami juga menemui tujuh acuan besi membuat pil," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata lelaki yang ditahan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan rompakan pada tahun 2001.

"Polis percaya lelaki terbabit adalah pakar dalam menghasilkan pil ecstasy dan masih menyiasat dari mana dia memperoleh bekalan dadah itu," katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman sehingga Isnin membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain