suria

Polis Perak Tahan Lima Lelaki Miliki Pistol, Dadah

IPOH: Polis menahan lima lelaki di beberapa daerah di Perak kerana memiliki pistol dan peluru, dan dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah serta sindiket dadah.

Tiga daripada suspek ditahan di Ipoh manakala masing-masing seorang di Chemor dan Manjung.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata dalam tangkapan di Ipoh semalam, polis turut merampas sepucuk pistol bersama lima butir peluru daripada tiga lelaki itu.

"Siasatan awal mendapati kesemua lelaki itu berpakaian kemas, dan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyamaran sebagai ahli perniagaan untuk menipu orang ramai", katanya pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak, di sini, Selasa. Polis turut merampas sebuah kereta yang digunakan ketiga-tiga lelaki berusia antara 35 dan 51 tahun itu.

Sementara itu di Manjung, seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan awal pagi ini dan polis turut merampas sepucuk pistol bersama 90 butir peluru.

Suspek dikatakan melarikan sebuah kereta jenis Toyota Hilux milik seorang lelaki pada pukul 5 pagi.

Di Chemor, Jabatan Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Perak menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Klebang Restu, pada Khamis lepas.

Hasil siasatan polis menemui 327gm syabu, 43.5gm heroin, sepucuk pistol jenis, 34 butir peluru hidup dan satu kelongsong berisi lapan butir peluru di dalam sebuah bilik di rumahnya.

Polis percaya suspek terlibat dalam kegiatan sindiket dadah di sekitar Ipoh dan turut menyita sebuah kereta miliknya.

Kesemua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut. -BERNAMA

Artikel Lain