suria

Maidam Tetapkan Zakat Fitrah Terengganu Antara RM4.50 -RM7.60

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar zakat fitrah di Terengganu tahun ini pada RM7.60, RM7 dan RM4.50 mengikut kategori beras yang dimakan.

Yang Dipertua Maidam Datuk Mazlan Hashim berkata kadar itu diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Bayaran boleh dibuat secara tunai atau dengan beras bermula 1 Ramadan hingga pagi Aidilfitri sama ada menerusi amil yang dilantik atau kaunter bayaran zakat Maidam, katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Selain itu, zakat fitrah juga boleh dibayar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) bagi pelanggan Celcom dan Maxis. Bagi pembayaran di kaunter, umat Islam boleh berbuat demikian dari 8.30 pagi hingga 4 petang (Ahad hingga Rabu) dan 8.30 pagi hingga 2.30 petang pada hari Khamis. Bagaimanapun bermula 5 Ogos, kaunter akan dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 4 petang, katanya. Selain itu, Maidam juga telah melantik 1,173 amil yang akan ditempatkan di masjid dan surau di seluruh negeri. Untuk tahun ini Maidam menyasarkan kutipan zakat fitrah RM5.8 juta berbanding RM5.7 juta tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain