suria

Kastam Sabah Tubuh Pasukan Khas Tangani Penyeludupan Barang Subsidi

TAWAU: Kastam Sabah menubuhkan pasukan khas bagi membendung kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi di negeri itu.

Timbalan Pengarah Kastam Sabah, Hamzah Sundang berkata Pasukan Khas Pemantau Barangan Kawalan/Bersubsidi itu dianggotai Polis Diraja Malaysia khususnya polis marin; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Majlis Perbandaran Tawau; Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Ko-Nelayan.

"Pasukan khas ini diketuai oleh kastam dan akan melaksanakan operasi secara bersepadu dan mengejut bagi menguatkuasakan Akta Bekalan Makanan 1961. Kita akan cuba tangani isu-isu berkaitan penyeludupan keluar barangan bersubsidi dan kawalan.

"Kita akan cuba kurangkan penyelewengan barangan bersubsidi seperti diesel yang diselewengkan oleh individu atau syarikat dengan menjualnya kepada industri atau syarikat yang tidak berhak mendapat bahan itu," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Katanya beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai tumpuan aktiviti penyeludupan terutama di kawasan pantai timur Sabah.

Hamzah berkata pasukan itu juga akan mendidik pihak berkepentingan seperti peniaga berhubung kesan negatif dan bahaya aktiviti penyeludupan itu kepada negara jika tidak dibendung. "Saya berharap penubuhan pasukan khas ini dapat menjelaskan kepada masyarakat bahawa agensi penguatkuasa tidak main-main (ambil mudah) aktiviti penyeludupan di Sabah sebaliknya akan terus membanterasnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain