suria

Kastam Rampas Rokok Pelbagai Jenama Bernilai RM30,000

TAWAU: Kastam Sabah berjaya merampas rokok pelbagai jenama bernilai RM30,781 dengan anggaran cukai RM142,370.24, hasil tiga serbuan di Kudat dan Semporna pada Ahad dan Isnin.

Timbalan Pengarah Kastam Sabah Hamzah Sundang berkata enam individu turut ditahan dalam serbuan terbabit.

Serbuan pertama di kawasan Pasar Umum Semporna pada Ahad dan kastam berjaya merampas rokok pelbagai jenama bernilai RM13,577, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Hamzah berkata semalam dua serbuan dilakukan di kawasan setinggan Kampung Tanjung Kapor Tengah, Kudat membabitkan nilai rampasan RM2,024, dan RM15,180 masing-masing.

Selain itu, anggota kastam di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu berjaya menyita pelbagai jenis barangan bersubsidi bernilai RM5,830 melalui Ops Subsidi sejak 12 Julai hingga semalam.

Katanya operasi yang bertumpu di kawasan Barter Trade Tawau dan perairan Tawau membabitkan rampasan seperti gula, minyak masak, susu tepung, tong gas dan ayam.

Sepanjang operasi itu kastam menahan 17 individu serta menyita tiga buah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika mengisi minyak jenis diesel di sebuah stesen minyak kerana disyaki menyeleweng bahan bakar tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain