suria

Indonesia Digesa Beri Kerjasama Bawa Pulang Siti Norzana - Muhd Khairun

KUALA LUMPUR: Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno menggesa pihak berkuasa Indonesia supaya memberi kerjasama bagi membawa pulang rakyat Malaysia, Siti Norzana Nordi, 12, yang dipercayai dijual di Lampung di republik itu.

Pengerusinya, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, beliau sudah pun membuat laporan kepada polis antarabangsa (Interpol) berhubung kes Siti Norzana.

"Kami akan menghantar nota rayuan kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia esok (Rabu) bagi menggesa pihak berkuasa Indonesia supaya memberi kerjasama dalam misi membawa pulang Siti Norzana.

"Dalam nota rayuan itu juga kami menggesa polis Indonesia memberi kerjasama kepada kita tanpa sebarang ketegangan yang boleh berlaku," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Siti Norzana merupakan salah seorang daripada empat adik-beradik rakyat Malaysia yang terkandas di Lampung, Indonesia selama dua tahun sejak Mei 2010.

Ketiga-tiga adiknya, Nur Masyita Amiera Nordi, 8; Muhammad Nurhan Nordi, 9, dan Nurul Safiza Fitri Nordi,11, berjaya dibawa pulang pada 30 Jun lalu, hasil usaha Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno.

Muhd Khairun berkata, kerjasama pihak berkuasa Indonesia diperlukan atas faktor keselamatan berikutan dua wakil biro telah diancam oleh lelaki yang didakwa sebagai penjaga Siti Norzana sewaktu sesi rundingan di Lampung pada Isnin.

"Pihak kami sudah berunding dengan lelaki berkenaan beberapa kali sebelum datang ke Lampung dan dia telah pun bersetuju untuk menyerahkan Siti Norzana.

"Bagaimanapun, bila pihak kami tiba di sana, lelaki tersebut enggan bekerjasama malah mengugut dan mahu menggunakan kekerasan menyebabkan saya mengarahkan mereka untuk pulang segera untuk menyelamatkan diri ke Kedutaan Malaysia di Jakarta," katanya.

Menurut Muhd Khairun, beliau melihat kes tersebut amat serius kerana kes Siti Norzana mempunyai elemen pemerdagangan kanak-kanak.

Jelas beliau, terdapat bukti dan keterangan bahawa Siti Norzana dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan dan dijual oleh ibu tirinya.

"Siti Norzana dikawal selia oleh lelaki yang 'membelinya' dan dipaksa untuk menjadi buruh kasar," katanya, sambil menambah bahawa keterangan itu diperoleh daripada ketiga-tiga adik Siti Norzana.

Beliau bagaimanapun enggan untuk mendedahkan buktinya pada masa ini tetapi tidak menolak bahawa Siti Norzana turut menjadi mangsa eksploitasi seks.

"Saya berharap pihak berkuasa Indonesia memberikan kerjasama. Diharapkan Siti Norzana dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan segera dan berpeluang untuk menyambut Hari Raya bersama bapa dan adik-adiknya," kata Muhd Khairun.

Dilaporkan, Siti Norzana dan tiga adiknya dibawa ke kampung halaman ibu tiri mereka, Karsini Kaslam, 25, oleh bapa mereka, Nordi Adi, 57, pada Mei 2010.

Bagaimanapun, mereka terperangkap di Lampung selepas ibu tiri menghilangkan diri bersama wang simpanan Nordi sehingga memaksanya pulang ke Malaysia seorang diri dalam keadaan sehelai sepinggang.

Artikel Lain