suria

Hutang Talam: Tee Yong Pertikai Kenyataan Bercanggah Abdul Khalid

KUALA LUMPUR: MCA pada Selasa mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak konsisten mengenai jumlah sebenar hutang Talam Corporation Berhad dengan kerajaan negeri itu.

Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, berdasarkan hansard mesyuarat Dewan Negeri Selangor (DUN) bertarikh 9 November 2010 menyatakan kerajaan negeri itu berhutang RM30 juta dengan Talam dan akan diselesaikan kemudian.

Bagaimana, katanya, jumlah itu bercanggah dengan laporan bernama pada Khamis lalu apabila kerajaan Selangor mengatakan hutang sebanyak RM80 juta masih belum dikutip daripada Talam.

"Apa yang membingungkan saya ialah selepas beberapa siri pendedahan MCA, tiba-tiba kerajaan negeri itu mengumumkan bahawa Talam masih berhutang RM80 juta.

"Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Mengapa jumlah RM80 juta itu hanya didedahkan sekarang?," katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini, Selasa.

Khamis lalu, Abdul Khalid dilaporkan berkata, kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) telah pun mengutip hutang sejumlah RM302,711, 391 daripada Talam.

Malah ketika sidang DUN, Abdul Khalid dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri masih menunggu baki bayaran RM80 juta daripada Talam.

Sementara itu, Tee Yong turut mempertikaikan tindakan kerajaan Selangor yang gagal menyiapkan Kertas Putih berhubung penstrukturan hutang Talam pada 2010 seperti yang dijanjikan.

"Kenapa Kertas Putih tidak disiapkan pada 2010 memandangkan hansard mesyuarat DUN pada 2010 dan 2011 menunjukkan seolah-olah tiada masalah wujud? Selepas dua tahun Kertas Putih itu juga masih belum disiapkan," katanya.

Tee Yong berkata, kegagalan itu jelas menunjukkan kerajaan Selangor tidak telus dan cekap dalam setiap perjanjiannya.

Malah katanya, penilaian ke atas semua aset Talam bernilai RM676 juta yang dijual kepada kerajaan Selangor tidak diluluskan oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Adakah ini bermaksud kerajaan Selangor bergantung semata-mata kepada penilai pihak Talam dan bukannya penilai pihak negeri dalam menentukan harga perolehan bagi setiap penilaian aset?," katanya.

Jelas Tee Yong, transaksi berjumlah RM676 juta itu menimbulkan pelbagai persoalan terutamanya melibatkan urusan pembelian tanah di Bestari Jaya dengan harga RM42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Artikel Lain