suria

Perunding Syarikat Rugi RM25,000 Selepas Rumah Dimasuki Tiga Penyamun

KUANTAN: Seorang perunding sebuah syarikat swasta kerugian RM25,000 selepas rumahnya di Bukit Astana Golf disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau, awal pagi Ahad.

Dalam kejadian 6 pagi itu, lelaki berusia 48 tahun bersama isteri dan empat anaknya sedang tidur nyenyak sebelum dikejutkan suspek yang mengacukan pisau ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa dan anggota keluarganya dikumpulkan dalam satu bilik ketika suspek menggeledah rumah mangsa.

"Sejurus kemudian, ketiga-tiga suspek berkenaan melarikan diri melalui pintu belakang dengan menaiki sebuah kereta menghala ke Jalan Pintasan-Pelabuhan Kuantan.

"Siasatan awal mendapati mangsa kehilangan barang kemas dan sejumlah wang tunai dengan jumlah kerugian kira-kira RM25,000," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota pada 7 pagi tadi sebelum sepasukan anggota polis bersama Unit Anjing Pengesan bergegas ke tempat kejadian.

Mohd Jasmani berkata, polis kini berusaha mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi pegawai penyiasat kes itu Inspektor Abul Qassim atau pegawai penyiasat kanan iaitu Asisten Superintendan C. Muniandy bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain