suria

Kos Pengajian Di Rusia Lebih Murah

KUALA LUMPUR: Pengajian luar negara menelan kos perbelanjaan tinggi, lebih-lebih lagi jika anda memilih untuk pergi ke Eropah.

Betulkan? Tanggapan itu tidak begitu tepat, menurut Konsul Kehormat Rusia di Pulau Pinang, Teoh Seng Lee.

Menyedari bahawa kos yang diperlukan di antara RM600,000 dan RM800,000 untuk melanjutkan pengajian di Britain, Amerika Syarikat dan Australia, Teoh berkata, jumlah keseluruhan untuk mendapatkan segulung ijazah dari Rusia adalah serendah RM140,000 hingga RM160,000.

"Rusia sepatutnya menjadi negara pilihan untuk dipertimbangkan. Standard pendidikan di negara itu amat tinggi dan terdapat beberapa kemajuan di dalam sistem pengajian tingginya," kata Teoh.

Teoh menasihati ibu bapa supaya menghantar anak mereka untuk kursus yang menawarkan potensi masa depan yang cerah bukan bertumpu kepada bidang perubatan semata-mata.

Katanya, kursus minyak dan gas, geologi dan kejuruteraan pesawat merupakan 'kunci kepada masa depan' di mana Rusia pakar dalam bidang tersebut.

Teoh berkata, baru-baru ini Rusia memutuskan untuk menyediakan kuota 40% kepada pelajar luar negara dengan biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian di sana.

Dua biasiswa penuh turut disediakan kepada pelajar Malaysia untuk mendaftarkan diri di Universiti Far Eastern Federal, Oktober ini.

"Biasiswa itu adalah untuk kejuruteraan perlombongan, geologi dan meliputi yuran pengajian dan penginapan.

"Syarikat multi-nasional sentiasa menawarkan pekerjaan kepada para pelajar dari universiti terkemuka Rusia walaupun mereka belum memperoleh ijazah," katanya.

Teoh berkata, kebanyakan universiti serantau di Rusia telah digabungkan ke dalam universiti Persekutuan untuk mengurangkan birokrasi dan pita merah.

Artikel Lain