suria

Perkasa Serah Memorandum 18 Resolusi Mantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan

Ibrahim Ali
Ibrahim Ali
Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Ahad memberitahu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah menyerahkan memorandum berhubung Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang mengandungi 18 resolusi kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, memorandum itu merupakan hasil daripada sidang meja bulat bersama beberapa pihak termasuk wakil-wakil NGO dan cendiakiawan Melayu pada 19 Mei lalu.

Beliau menjelaskan, memorandum berkenaan diserahkan kepada pejabat Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri pada Jumaat lalu (13 Julai).

“Kami berharap supaya pihak Kementerian Pelajaran dapat mengkaji kajian semula sistem pendidikan kebangsaan dengan teliti dan serius.

“Juga (diharapkan) mengambil apa jua yang dicadangkan oleh Perkasa. Kandungan (resolusi) ini mencakupi semua aspek,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama beberapa NGO Melayu anjuran Perkasa dan Jalur Tiga (Jati) di sini, Ahad

Dilaporkan bahawa satu sidang meja bulat diadakan mengenai Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan pada 19 Mei lalu dan ketika itu telah meluluskan 13 resolusi.

Resolusi berkenaan menggariskan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh kerajaan apabila melaksanakan sebarang pindaan terhadap sistem pendidikan kebangsaan dan cadangan-cadangan baru bagi memantapkannya.

Ibrahim berkata, tiada sebarang perbincangan semasa penyerahan memorandum kepada Kementerian Pelajaran dan tidak menetapkan tempoh maklum balas mengenainya.

“Tiada tempoh yang ditetapkan. Kita sudah serahkan memorandum, kita sudah menunaikan tanggungjawab kita dan terpulanglah kepada kerajaan (untuk pertimbangan),” katanya.

Beliau menambah, kajian semula sistem pendidikan kebangsaan itu adalah di peringkat akhir dengan mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan sejak dahulu.

“Semasa sidang meja bulat pada Mei lalu, ahli-ahli menambah pandangan untuk menambah baik (resolusi) dan ini adalah yang final (muktamad),” kata Ibrahim.

Antara kandungan 18 resolusi dalam Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan adalah:

1. Menuntut penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama persekolahan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mesti dikekalkan, diperkukuhkan dan dimartabatkan sejajar seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 Bahasa Kebangsaan dan Akta Kebangsaan 1963/67 tanpa tolak ansur.

2. Menuntut mengembalikan penggunaan istilah bahasa Melayu menggantikan istilah bahasa Malaysia sejajar dengan Faal 152 Perlembagaan Malaysia.

3. Menuntut pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan yang baru hendaklah berteraskan dan tidak bercanggah dengan semangat falsafah dan matlamat yang termaktub dalam Penyata Razak (1956), Ordinan Pelajaran (1957), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979), Akta Pendidikan 1996 serta Pindaan 1997 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1988) dan Rukun Negara.

4. Menuntut kerajaan menghormati, mematuhi dan tidak melaksanakan dasar yang bercanggah dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 153, “Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak” mengenai biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan seumpamanya.

5. Menuntut kesungguhan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersama-sama merancang strategi dan melaksanakan program memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia bagi seluruh negara meliputi sektor awam dan swasta.

Artikel Sebelum

Artikel Lain