suria

Koperasi Semakin Serius Teroka Bidang Perniagaan - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Penyertaan 300 gerai koperasi pada Ekspo Hari Koperasi Negara (HKN) 2012 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, yang bermula Jumaat, menunjukkan badan itu semakin serius meneroka peluang baru, terutama dalam bidang perniagaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkembangan positif ini mampu menjadi medan penting kepada koperasi untuk kekal berdaya saing dan memberi manfaat kepada anggotanya.

"Jika dilihat pada sambutan yang sama tahun lepas, kita jemput syarikat yang bukan dari bidang koperasi untuk menjadi pempamer kerana jumlah koperasi yang terhad.

"Tetapi pada tahun ini, semua gerai yang dibuka adalah seratus peratus terdiri daripada koperasi seluruh negara, termasuk penyertaan beberapa koperasi dari negara Asean," katanya selepas menyampaikan anugerah kepada 12 koperasi cemerlang sempena sambutan HKN ke-11, Sabtu.

Antara anugerah yang disampaikan ialah Koperasi Sekolah Terbaik bagi sekolah harian (Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Temin, Jerantut Berhad dari Pahang), Koperasi Sekolah Terbaik bagi sekolah berasrama (Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Kuala Krai Berhad dari Kelantan) dan Anugerah Tunas Harapan (Koperasi Shirdi Sai Baba Malaysia Berhad).

Ismail Sabri berkata HKN merupakan platform penting kepada anggota koperasi untuk bertemu dan bertukar idea bagi mengembangkan koperasi masing-masing, medan mempromosi konsep serta produk selain menjadi wadah untuk memperlihat perkembangan koperasi kepada orang ramai.

Mengenai perkembangan kerjasama dengan lima negara Asean dalam bidang koperasi, beliau berkata perjanjian persefahaman dijangka ditandatangani pada tahun ini.

"Sepatutnya wakil Indonesia ada bersama kita juga hari ini untuk menandatangani perjanjian, tetapi oleh kerana hari koperasi ini turut disambut di peringkat antarabangsa, dan negara jiran itu turut meraikannya, jadi kita terpaksa tangguhkan dan tunggu masa lain yang sesuai," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain