KANGAR: Generasi muda yang lahir di zaman negara membangun perlu diterap dengan penghayatan sejarah bagi memastikan semangat jati diri mereka terhadap negara lebih kental. Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata penerapan itu seharusnya bermula seawal sekolah rendah supaya mereka dapat menghayati sejarah lebih jelas apabila meneruskan pengajian menengah dan ke institusi pengajian tinggi. Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada mesyuarat agung Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Cawangan Perlis kali ke-42 yang dibaca Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Mata Ayer Khairi Hassan, di sini, Ahad.Md Isa berkata ilmu sejarah amat penting kepada masyarakat kerana peminggirannya bukan sahaja akan menjadikan mereka buta sejarah tetapi melonggarkan semangat jati diri terhadap negara. "Mereka yang tidak menghargai sejarah akan turut tidak menghargai perjuangan pemimpin-pemimpin silam yang berjuang menuntut kemerdekaan dan menegakkan kedaulatan negara," katanya.Sementara itu, Pengerusi PSM Cawangan Perlis Datuk Yazid Mat berkata pihaknya bercadang melawat wilayah Satun di selatan Thailand tidak lama lagi bagi menjejaki sejarahnya kerana wilayah itu mempunyai kaitan sejarah yang rapat dengan Perlis. -BERNAMA