suria

Polis Bantu 1,473 Bekas Tahanan Dapatkan Kerja

KUALA LUMPUR: Polis memantau pergerakan 1,473 individu seluruh negara yang dibebaskan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri sejak beberapa bulan lalu dan sedia membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan bagi mengelakkan mereka kembali terlibat dengan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata bekas tahanan agak sukar mendapatkan pekerjaan kerana mereka sangsi terhadap penerimaan masyarakat terhadap mereka, justeru beliau berharap perkara tersebut tidak akan menjadi punca mereka kembali kepada tabiat buruk mereka sebelum ini.

"Kami berharap bekas tahanan ini mendapat peluang kedua dalam hidup dan mereka akan merebut peluang itu serta berusaha menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam komuniti mereka.

"Saya juga berharap masyarakat dan bakal majikan akan memberikan mereka satu peluang bukan menilai mereka sebagai golongan yang bermasalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat kepada ketua-ketua polis negeri dan pegawai kanan di Bukit Aman pada Jumaat.

Ketika taklimat tersebut, Ismail telah mengarahkan semua ketua polis daerah mesti berhubung dengan bekas tahanan yang telah kembali ke kampung mereka untuk mengetahui sama ada mereka menganggur atau tidak.

Sekiranya bekas tahanan ini masih menganggur mereka perlu memberikan butiran peribadi mereka kepada Jabatan Tenaga Kerja dalam usaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Ismail berkata tindakan memantau pergerakan bekas tahanan diambil bukan untuk menganggu sebaliknya membantu mereka.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut mengumumkan bahawa semua anggota polis perlu berlatih ‘Confidence Building Action’ ketika menguruskan kes yang melibatkan mereka yang menjadi mangsa jenayah bagi membantu mengurangkan trauma yang dihadapi.

"Di bawah rancangan ini, setiap mangsa yang telah membuat laporan polis akan dihubungi oleh pegawai penyiasat yang ditugaskan memantau kes tersebut sekurang-kuranya sekali setiap hari baig mengemaskini perkembangan terbaru dalam kes tersebut.

"Pada masa akan datang sebuah pasukan kgas akan dihantar untuk melawat mangsa sekaligus dapat mengelakkan risiko kejadian jenayah yang sama berulang semula di kawasan mereka. Ia juga dapat membantu mangsa pulih daripada pengalaman pahit yang dihadapi mereka," katanya.

Berhubung kes sepasang mengambil tindakan nekad untuk tinggal dalam kereta mereka selama seminggu berhampiran dengan Hospital Ampang Jaya selepas pangsapuri mereka di Pandan Perdana dipecah masuk dan anak perempuan mereka ditetak dengan parang oleh penyerang, Ismail berkata beliau telah mengarahkan ketua polis daerah berbuhung dengan pasangan tersebut.

"Ketua polis daerah secara peribadi akan bercakap dengan pasangan tersebut dan jika tempat tinggal mereka memang menjadi tempat jenayah kita akan meningkatkan rondaan dan tahap keselamatan di sana," katannya sambil menambah bahawa beliau berharap tindakan tersebut dapat memberi keyakinan kepada keluarga berkenaan supaya kembali semula ke rumah mereka.

Artikel Lain