suria

MB Johor Dimasukkan Ke Hospital Untuk Rawatan Sinus

JOHOR BARU: Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dimasukkan ke Hospital Pakar Johor pada Jumaat bagi menjalani rawatan penyakit sinus yang dihadapinya.

Setiausaha akhbar beliau, Mohd Sa'odi Mat Atar berkata Abdul Ghani dimasukkan ke hospital pada 10 malam atas nasihat doktor bagi mendapat rawatan dan berehat.

"Beliau berulang-alik ke hospital tersebut sejak dua tiga hari lepas sebelum dinasihatkan doktor untuk masuk ward bagi mendapatkan rawatan dan berehat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Sabtu.

Mohd Sa'odi berkata keadaan Abdul Ghani tidak membimbangkan dan beliau dijangka dibenarkan keluar hospital dalam sehari dua ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan Majlis Penutupan Dialog Pendidikan Nasional di sini Sabtu, turut melawat Abdul Ghani petang ini sebelum merasmikan Persidangan Umno Bahagian Sembrong di Felda Ulu Belitong, Kluang. - BERNAMA

Artikel Lain