suria

Lelaki Bawa Rakyat Asing Ditahan Dalam Operasi Bersepadu

BUTTERWORTH: Seorang lelaki disyaki 'tekong darat' yang membawa empat lelaki Afghanistan ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan, di sini malam Jumaat.

Empat rakyat Afghanistan yang menggunakan pasport palsu itu juga ditahan bagi membantu siasatan, kata Pengarah JPJ Pulau Pinang Datuk Hassan Yaacob.

Beliau berkata dalam operasi itu, lelaki berusia 40-an yang memandu kereta Proton Gen 2 itu bertindak keluar daripada kenderaannya dan cuba melarikan diri sebaik ternampak sekatan jalan raya.

"Pemeriksaan lanjut mendapati dia tidak mempunyai lesen dan cukai jalan kereta yang dipandunya telah tamat tempoh," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Hassan berkata siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu membawa empat lelaki rakyat asing berkenaan dari Bukit Kayu Hitam ke Kuala Lumpur dan ia dipercayai didalangi sindiket.

Dua belas agensi, antaranya polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Imigresen, Kastam Diraja Malaysia dan Puspakom terlibat dalam operasi yang bermula pada pukul 8 pagi Jumaat hingga 12 tengah malam tadi.

Hassan berkata sepanjang operasi itu, pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki Myanmar dan Vietnam serta dua wanita Indonesia yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. - BERNAMA

Artikel Lain