suria

Kematian Warga Emas Akibat Dibunuh - Polis

KUANTAN: Polis mengesahkan wanita warga emas yang ditemui mati di rumahnya di Lorong Alor Akar 30 di sini petang Jmaat, adalah akibat dibunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran berkata bedah siasat oleh Hospital Tengku Ampuan Afzan pagi tadi mendapati Goh Eng Mooi, 60, mati akibat dicekik.

"Polis masih menyiasat kes berkenaan secara terperinci," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, mangsa sendirian kerana semua lima anaknya yang tinggal bersama, berada di tempat kerja masing-masing.

Kejadian hanya disedari anak lelakinya yang berusia lingkungan 40-an, ketika pulang untuk membawa mangsa menjalani pemeriksaan rutin di sebuah hospital pakar di sini. "Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan kes samun apabila beberapa barangan termasuk dua komputer riba, sebuah telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM200 hilang," kata Narenasagaran.

Beliau berkata polis juga masih menyiasat sama ada kes itu melibatkan lebih daripada seorang suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh. -BERNAMA

Artikel Lain