suria

Umno Kelantan Kesal Sikap Taksub Penyokong Parti Poltik Sehingga Bercerai

KOTA BAHARU: Umno Kelantan kesal sikap sesetengah pihak yang begitu taksub terhadap parti politik tertentu sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai masalah seperti perpecahan dan perceraian.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata ia sesuatu yang sangat menyedihkan apabila sikap ekstrim dalam berpolitik itu seolah-olah direstui pemimpin parti politik tersebut sehingga berlakunya perkara seumpama itu.

"Pendekatan melampau melibatkan soal agama dan kaum yang digunakan parti politik terbabit menyebabkan timbul kebencian dan jurang sehingga berlakunya masalah perceraian, solat dua imam dan sebagainya.

"Ini akhirnya boleh merosakkan negara yang telah lama mengamalkan sikap toleransi antara kaum dan bangsa serta pengukuhan institusi kekeluargaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Barisan Nasional (BN) Di Hati, Janji Ditepati di sini, Jumaat.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong dan kira-kira 1,000 orang, hadir pada majlis tersebut.

Awang Adek berkata demikian mengulas tindakan seorang guru agama berumur 78 tahun di sini, yang menceraikan isterinya kerana didakwa tidak mengikut ajaran Islam sebenar.

Wanita itu mendakwa bekas suaminya memfailkan perceraian selepas marah dengan tindakannya menghadiri ceramah bekas Naib Presiden PAS Datuk Dr Hasan Ali di Tanah Merah pada 11 Jun lepas.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata berbeza dengan Umno dan BN yang mengamalkan konsep wassatiyah atau kesederhanaan dalam pendekatan dengan hanya memperjuangkan soal kepentingan parti sebagai wadah perjuangan membela rakyat.

Sementara itu ketika forum berkenaan, Awang Adek berkata BN menunaikan segala janjinya berbeza dengan janji kerajaan PAS Kelantan yang tidak dilaksanakan seperti pembinaan Jambatan Kampung Cina-Pelakbang termasuk masalah bekalan air bersih.

"Berbeza dengan Umno dan BN yang terus menunaikan janji walaupun kalah dalam pilihan raya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain