suria

Tiga Suspek Disyaki Pengedar Dadah Diberkas

KUANTAN: Polis menahan tiga lelaki disyaki pengedar dadah yang menjadikan sebuah rumah sewa di Bandar Damansara, dekat sini sebagai pusat membungkus dadah.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 31 dan 40 tahun itu diberkas dalam serbuan pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Thoon Khuan berkata polis turut menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi lima biji pil berwarna kemerahan bertanda WY bersama satu balutan kertas timah mengandungi serbuk keputihan disyaki heroin.

"Hasil pemeriksaan di bilik tingkat atas rumah itupula, kami menemui sebuah beg yang mengandungi empat ketulan mampat kanabis seberat 586 gram yang dibalut dengan paket plastik lutsinar," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah. Mereka kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Kuantan selama tujuh hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya Pindaan 1952, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain