suria

Syarikat Urus Niaga Dinar Dan Dirham Diminta Serah Segera Emas Dibeli Pelanggan

PETALING JAYA: Sebuah syarikat berdaftar yang menjalankan urus niaga Dinar dan Dirham di negara ini digesa menyerahkan jongkong emas yang masih belum diserahkan kepada beberapa pelanggannya seperti yang dijanjikan.

Ahli Parlimen Kelana Jaya Gwo Burne Loh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendedahkan perkara ini berkata beliau menerima tiga aduan berhubung perkara ini termasuklah daripada seorang pesara yang membuat aduan pada awal Mei tahun ini.

"Pesara ini membeli jongkong emas Hallmark 999.9 seberat 500gram dengan harga RM145 per gram dan telah membuat bayaran penuh.

"Bagaimanapun jongkong emas yang dibeli sejak 21 bulan lalu masih belum diterima sehingga kini," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR, dekat sini, Jumaat.

Menurut beliau syarikat yang terletak di Petaling Jaya itu merupakan sebuah syarikat yang berdaftar secara sah.

Malah katanya, risalah urus niaga syarikat berkenaan juga mampu menarik minat orang ramai untuk membuat pelaburan emas dan perak kerana di dalamnya turut dimuatkan nama-nama tokoh negara yang disegani termasuk nama Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pelanggan akan tertarik melihatnya (risalah) kerana ia nampak seperti boleh dipercayai.

"Di dalamnya, mereka (tokoh) memberikan pandangan positif dalam pelaburan jenis ini...kerajaan juga menggalakkan orang ramai terlibat dengannya.

"Apabila syarikat gagal menjalankan urusan dengan sempurna...emas yang dijanjikan tidak diserahkan kepada pelanggan, kerajaan atau pihak bertanggungjawab harus bertindak," tegasnya.

Mengulas lanjut aduan yang diterima, mangsa yang membeli untuk tujuan pelaburan telah mengemukakan aduan kepada Bank Negara dan pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Bank Negara berjanji akan ambil tindakan terhadap syarikat terbabit tapi sehingga kini tiada jawapan," katanya.

Sementara itu, pengarah syarikat berkenaan ketika dihubungi enggan berbincang dan melayan sebarang aduan mangsa.

Sehingga kini, syarikat yang didakwa masih beroperasi dan menjalankan perniagaan seperti biasa.

"Pengarahnya enggan bersemuka dan memberikan banyak alasan. Kakitangan syarikat pula hanya menjawab 'tidak tahu' apabila ditanya perkara ini," katanya.

Selain menggesa kerajaan prihatin terhadap perkara ini, PKR bersama mangsa-mangsa juga akan membuat aduan secara rasmi kepada Bank Negara jika isu ini tidak dapat diselesaikan segera.

Artikel Sebelum

Artikel Lain