suria

Juruteknik Mengaku Salah Cuba Bunuh, Sebabkan Kecederaan Konstabel Polis

JOHOR BAHARU: Seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan cuba membunuh dan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang konstabel polis, awal bulan ini.

Hakim Zamri Bakar memerintahkan Blalang Anak Julin, 21, menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama dan penjara setahun bagi kesalahan kedua dengan kedua-kedua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap, 2 Julai lepas.

Blalang, yang berasal dari Sungai Poi, Kanowit, Sarawak, dituduh menembak dengan menggunakan pistol dan menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Snilus Anak Lamrie, 24, di Happy Land and Cafe, bernombor 80A, Jalan NB2 1/4, Taman Nusa Bestari 2, Skudai, di sini, kira-kira pukul 4.15 pagi, 2 Julai lepas.

Bagi kesalahan kedua, dia bersama-sama yang lain dituduh sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Snilus semasa melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam dengan niat untuk menahan serta menghalang Snilus daripada menjalankan tugasnya di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Blalang dalam rayuannya memohon hukuman ke atasnya dikurangkan memandangkan dia menanggung ibu, bapa, isteri serta seorang anak berumur enam bulan selain perbuatan itu dilakukan ketika di bawah pengaruh alkohol.

Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap Blalang memandangkan kesalahan yang dilakukannya adalah serius yang boleh membahayakan orang awam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain