suria

Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Ditubuhkan Bagi Perincikan Dasar

MUADZAM SHAH: Kementerian Sumber Manusia menubuhkan satu jawatankuasa pelaksanaan bagi memperincikan perkara berkaitan penetapan kadar gaji minimum bagi sektor swasta.

Timbalan Menteri Datuk Maznah Mazlan berkata jawatankuasa itu kini sedang giat mengadakan perjumpaan dengan para majikan, kumpulan pekerja dan pihak yang berkaitan bagi berunding mengenai beberapa perkara yang belum diputuskan sebelum dasar tersebut dilaksanakan.

"Ada permintaan yang mahu beberapa elaun dipertimbangkan untuk dimasukkan di dalam gaji pokok. Oleh kerana terdapat beberapa perkara yang belum diselesaikan, itu sebab ia (dasar) tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Penyerahan Cek Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Penyampaian Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini, Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Hari Buruh 1 Mei lalu mengumumkan mengenai kadar gaji minimum sektor swasta di mana Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

Dalam pada itu Maznah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah berkata sebanyak 56 daripada 193 permohonan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RM1M)bagi kawasan Muadzam Shah diluluskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada tahun ini.

"Manakala yang selebihnya kini dalam pertimbangan pihak SPBN. Mana-mana penduduk yang masih belum memohon, kini sama ada boleh membuat permohonan menerusi online di pejabat saya atau wakil rakyat masing-masing.

"Bagi penduduk yang ingin memohon tetapi tidak mempunyai tapak, tidak perlu gusar kerana kita akan cuba sedaya upaya bekerjasama dengan pihak yang berkaitan bagi memastikan permohonan anda dapat dilaksanakan," katanya.

Program RM1M ini diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah iaitu kurang dari RM3,000 sebulan seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain