suria

Dua Parah Ditembak Dari Jarak Dekat

KUCHING: Dua lelaki cedera parah terkena tembakan senapang patah dari jarak dekat ketika mereka sedang minum di sebuah kafe di Taman Green Height, Jalan Lapangan Terbang di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata mangsa pertama berusia 30-an berasal dari Miri dan bekerja sendiri manakala mangsa kedua ialah kerani di sebuah syarikat swasta berusia 60-an dari Kuching.

"Kedua-dua mangsa duduk di meja berasingan dan siasatan awal mendapati seorang lelaki melepaskan satu das tembakan menggunakan senapang patah ke arah mangsa pertama manakala serpihan tembakan itu terkena mangsa berusia 60-an," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 30-an itu cedera parah di bahagian kiri kepala manakala lelaki yang terkena serpihan tembakan cedera di tangan kiri dan kiri perut.

Beberapa kesan tembakan turut ditemui pada dua kereta yang diletak berhampiran kafe itu, katanya.

Roslan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Beliau berkata kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Umum Sarawak di sini. "Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah bersifat peribadi," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain