suria

Benarkan Anggota Rela Buat Rondaan Di Kompleks Beli-Belah

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu pemilik kompleks membeli-belah membenarkan anggota Rela yang dilantik sebagai polis bantuan untuk membuat rondaan di tempat letak kereta di premis mereka.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar akan mengetuai satu pasukan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan untuk bercakap dengan semua pemilik pada minggu depan bagi membincangkan tentang inisiatif dan bagaimana ia boleh dilaksanakan.

“Disebabkan tempat letak kereta itu adalah harta persendirian, maka adalah penting untuk pemilik bekerjasama dengan kami.

“Kami akan bersama dengan mereka untuk bertukar pandangan dan membentangkan idea secara menyeluruh,” katanya pada Khamis.

Hishammuddin berharap agar para pemilik bersikap terbuka terhadap inisiatif ini yang merupakan sebahagian daripada usaha memerangi jenayah.

“Kami amat prihatin terhadap beberapa kes samun yang berlaku baru-baru ini di tempat letak kereta (kompleks membeli-belah), tetapi adalah mustahil untuk meletakkan polis di semua lokasi berkenaan di negara ini,” kata beliau.

Setakat Mac, terdapat 5,737 anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam yang berdaftar sebagai polis bantuan di bawah Program Omnipresence (meningkatkan kehadiran) Polis.

Ketika bertugas, sukarelawan dikehendaki memakai pakaian seragam polis warna biru yang dilekatkan sama ada logo Rela atau Jabatan Pertahanan Awam.

Ditanya mengenai kebimbangan rakyat mengenai keselamatan mereka, beliau berkata, “Semuanya (kes ragut) adalah kes terpencil tetapi ia menyebabkan kebimbangan yang semakin memuncak yang perlu diatasi.”

Artikel Sebelum

Artikel Lain