suria

Tiada Laporan Penyebaran Wabak EV-71 Di Malaysia - Tiong Lai

BENTONG: Kementerian Kesihatan pada Khamis mengesahkan setakat ini tiada laporan mengenai penyebaran kes wabak Enterovirus 71 (EV-71)dari Kemboja di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata bagaimanapun beliau dimaklumkan terdapat satu kes berkaitan EV-71 dan pesakit berkenaan telah diasingkan dan di bawah penjagaan.

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana keadaan adalah terkawal dan setakat ini, tidak ada penyebaran kes wabak EV-71 dilaporkan dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menutup program Kids Invent! di sini, Khamis.

Beliau berkata walaupun tiada kes baru dilaporkan, kementerian masih mengekalkan amaran pada peringkat tinggi dan memantau keadaan dengan teliti.

Baru-baru ini, wabak EV-71 menyebabkan lebih 60 kanak-kanak di Kemboja maut, sekaligus mencetus kebimbangan penduduk di negara ini. Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan laporan harian mengenai situasi wabak itu di Kemboja.

Beliau meminta orang ramai untuk menjaga serta mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi setiap masa.

"Semua tadika awam dan swasta mesti sentiasa mengawasi kanak-kanak dan memastikan persekitaran mereka sentiasa bersih dan semua klinik kesihatan dan swasta mesti memaklumkan segera kepada kementerian jika didapati mana-mana pesakit disyaki dijangkiti virus ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain