suria

Polis Masih Siasat Latar Belakang Pasangan Yang Mengamuk Di JPM

KUALA LUMPUR: Polis masih menyiasat latar belakang pasangan yang mengamuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya Isnin lepas bagi mengenalpasti kumpulan ajaran sesat yang mereka sertai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Kita akan siasat latar belakang kedua-dua mereka, tujuan dan motif mereka termasuk blog dan facebook milik mereka, sama ada terdapat pengikut atau nama ketua ajaran sesat atau kumpulan militan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Balai League Table (BLT) Siri 1,2012 di sini, Rabu.

Ismail berkata pihaknya percaya kedua-dua mereka 'kurang sihat' dan apa yang mereka lalukan itu bukan sesuatu yang dirancang.

"Berdasarkan prosedur keselamatan serta menangani insiden amuk itu, pihak polis telah bertindak dengan pantas dan wajar," katanya.

Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya Imam Mahadi dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.

Ditanya mengenai kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa Malaysia akan mengikuti Singapura dalam menghapuskan hukuman gantung mandatori terhadap keldai dadah, Ismail berkata: "Kita bersedia untuk bekerjasama".

Ismail turut menafikan kadar jenayah meningkat serta ia tidak mempunyai kaitan dengan penghapusan Ordinan Darurat 1969 yang menahan penjenayah tanpa bicara.

"Ini merupakan cabaran baru kepada polis dan kita bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain