suria

MB Pertahan Hartanah PKNS Mahal

SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan trend kenaikan harga rumah di Selangor yang melambung tinggi khususnya membabitkan projek Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menteri Besar Selangor itu berkata, PKNS perlu bersaing dalam pasaran biasa khususnya di kalangan syarikat pemaju swasta bagi memastikan anak syarikat kerajaan negeri berkenaan mencapai keuntungan.

Selain itu Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKNS menjelaskan nilai projek hartanah yang dibangunkan perbadanan itu terpaksa ditentukan oleh harga pasaran semasa.

"Bila kita bersaing dalam pasaran biasa, nilainya ditentukan oleh harga pasaran. Jadi adalah sangat penting untuk kita bersaing dengan harga pasaran.

"Mengapa syarikat swasta dapat menjual dengan harga tersebut (harga tinggi) dan PKNS tak dapat jual pada harga yang sama," katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) yang membangkitkan isu sama ada PKNS sebagai anak syarikat kerajaan negeri dapat membina projek perumahan mampu milik untuk rakyat Selangor.

Katanya PKNS mempunyai kelebihan untuk mengawal harga projek hartanah khususnya di kawasan tumpuan seperti bandar Shah Alam agar tidak membebankan pembeli.

Bagaimanapun Abdul Khalid tetap dengan pendirian agar PKNS tidak menurunkan harga projek hartanah mereka kerana yakin dengan kemampuan pembeli membeli pada kadar jualan pasaran.

"Jadi kita akan biarkan harga pasaran kekal. Kalau mereka (pemaju swasta) boleh jual dengan harga RM1 juta dan ada pembeli...maknanya harga akan kekal.

"Kalau pasaran (permintaan) boleh terima, kita berikan," katanya.

Abdul Khalid juga menjelaskan hasil keuntungan menerusi penjualan hartanah PKNS akan digunakan bagi menampung membangunkan projek pembangunan kerajaan negeri.

"Keuntungan ini kita guna untuk bangunkan projek-projek membantu rakyat yang tidak berkemampuan untuk memiliki tanah.

"Sebagai contoh keuntungan PKNS kita salurkan kepada program pemulihan projek perumahan terbengkalai di Bukit Botak untuk tolong peneroka yang tak ada tanah dan rumah," katanya.

Artikel Lain