suria

Kos Loji Langat 2, Lebih Rendah Projek Saluran Paip Tasik Kenyir

SHAH ALAM: Kos pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor (PPAMPS) adalah lebih rendah dengan perbezaan RM2.4 bilion berbanding kos penyaluran paip air dari Tasik Kenyir, Terengganu.

Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Air Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Sutekno AhmadBelon berkata kos pemasangan saluran paip dari Tasik Kenyir ke Langat 2 di Hulu Langat sahaja mencecah sehingga RM11.3 bilion.

Beliau berkata kos berkenaan adalah lebih tinggi berbanding pembinaan Langat 2 dan PPAMPS yang menelan kos RM8.9 bilion. "Jarak dari Tasik Kenyir ke Langat 2 melalui rezab saluran gas kira-kira 500 kilometer (km) dan kos dikira berdasarkan kos pemasangan dua batang paip bersaiz tiga meter sepanjang 11.9 km di bawah PPAMPS iaitu RM269 juta.

"Kos stesen pam dan operasi belum diambil kira," katanya ketika menyampaikan taklimat pada Forum Mengenai Isu Bekalan Air Selangor anjuran kementerian itu di sini, Khamis.

Sutekno berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bahawa penyaluran air dari Tasik Kenyir merupakan alternatif bagi mengatasi masalah kekurangan air di Selangor.

Abdul Khalid turut dilaporkan menyebut bahawa kos penyaluran air dari Tasik Kenyir adalah lebih rendah selain mencadangkan air tasik dan lombong sebagai alternatif untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air.

Mengulas lanjut, Sutekno berkata sumber air seperti tasik dan lombong mempunyai keupayaan pengisian semula yang rendah dan berisipadu kecil selain memerlukan kos tambahan bagi membina loji rawatan air dan paip agihan serta kos operasi.

Beliau berkata kesan penangguhan Langat 2 telah menyebabkan bekalan air tidak mencukupi kerana rezab bekalan semakin berkurangan disebabkan permintaan meningkat selain berlakunya gangguan bekalan air yang kerap.

Isu bekalan air telah banyak diperkatakan sejak 2008 dan ia menjadi lebih genting apabila kerajaan Selangor enggan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Langat 2.

Projek yang menelan belanja RM8.65 bilion itu telah mendapat persetujuan kerajaan negeri Selangor semasa ditadbir Barisan Nasional (BN), namun ia kini terbantut apabila negeri itu dipimpin pakatan pembangkang. -BERNAMA

Artikel Lain