suria

Keselamatan Pekerja Sektor Pemindahan Wang Akan Diperincikan - Maznah

MELAKA: Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan berkaitan keselamatan pekerjaan dalam sektor pemindahan wang di negara ini dalam waktu terdekat.

Pengerusinya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata inisiatif tersebut bertujuan mengkaji langkah keselamatan atau garis panduan yang efektif bagi melindungi keselamatan pekerja ketika melakukan proses transaksi pemindahan wang dari satu lokasi ke satu lokasi.

Beliau berkata ketika ini tiada garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi melindungi pekerja sekira berlakunya kemalangan atau jenayah ketika proses pemindahan wang dilakukan. "Maknanya kita nak tahu siapa punya tanggungjawab melindungi mereka. Mungkin telah ada pihak yang bertanggungjawab, mungkin belum, atau mungkin tak jelas.

Semua orang ingat ini bukan bidang tugas masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Vokasional Melaka Tengah di sini, Khamis.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Ir Mokhtar Masri.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti dan mengkaji sekiranya garis panduan atau SOP tersebut telah diwujudkan agar penambahbaikan dapat dilakukan bagi melindungi keselamatan pekerja.

Katanya langkah tersebut perlu diberi perhatian susulan kes dua jurutol Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang cedera parah ditembak sebelum disamun RM2,000 oleh sekumpulan perompak ketika dalam perjalanan menghantar wang kutipan tol ke pejabat syarikat itu di Plaza Tol Seremban, Jun lepas.

Dalam perkembangan lain Maznah berkata Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) merekodkan 25,615 kes kemalangan industri dan kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang kerja bermula Januari hingga Mei tahun ini, meningkat 5.74 berbanding 24,224 kes dalam tempoh sama 2011.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut 499 kes membabitkan kemalangan maut pada tahun ini dalam tempoh sama berbanding 567 kes pada tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain