suria

Kerajaan Mahu Buka Satu KR1M Di Setiap Kawasan Parlimen

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhasrat untuk membuka sekurang-kurangnya satu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Bagaimana pun, Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berikutan peruntukan yang terbatas, perkara itu memerlukan perbincangan lanjut dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) "Sambutan amat menggalakkan dan kita akan bincangkan dengan Perdana Menteri kalau boleh (diwujudkan)... harapan orang ramai (supaya) diadakan satu Parlimen satu KR1M," katanya kepada pemberita selepas melancarkan KR1M pertama di Inanam, Sabah, dekat sini, Khamis.

"Bagaimana pun, seperti yang kita tahu, perbelanjaan untuk buka kedai ini agak besar..jadi kita berharap akan ada tambahan untuk tahun depan," katanya, sambil menyatakan bahawa harga barangan di KR1M ialah 30 hingga 50 peratus lebih rendah daripada biasa.

Beliau berkata kini terdapat 47 KR1M yang beroperasi di seluruh negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bercadang untuk membuka 38 lagi KR1M di seluruh negara pada tahun ini.

Bagi negeri Sabah, Ismail Sabri berkata kementeriannya bercadang membuka enam lagi KR1M di Sabah, iaitu di Keningau, Lahad Datu, Sandakan, Tuaran dan dua di sini, pada tahun ini.

"Jika semuanya berjalan lancar, kita harap enam KRIM baharu ini akan beroperasi sebelum akhir tahun ini," katanya.

KR1M Inanam yang berkeluasan 13,000 kaki persegi itu meliputi ruangan jualan runcit KR1M, bahagian jualan borong dan gudang produk KR1M.

Ismail Sabri berkata sejak dibuka pada 29 Jun lepas, KR1M Inanam, dengan 265 produk 1Malaysia, mencatatkan jualan harian tertinggi RM24,000 pada 1 Julai lepas yang merupakan rekod jualan harian tertinggi KR1M itu setakat ini.

KR1M Inamam itu merupakan hub jualan dan pengedaran produk 1Malaysia Kedai Rakyat (1MKR) ke seluruh negeri Sabah, katanya, sambil menyatakan kewujudan KR1M Inanam itu akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain memberi peluang kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Kita galakkan supaya kedai runcit sedia ada, penjaja di gerai dan sebagainya, supaya membeli secara borong di kedai KR1M. Kita sudah tetapkan supaya di mana-mana sahaja di Sabah harganya tetap sama," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain