suria

Tiada Halangan Wan Azizah Bertanding Di Kerusi DUN - Abdul Aziz

PUTRAJAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menghadapi sebarang masalah untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tiada halangan bagi Wan Azizah untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN.

"Tiada masalah. Beliau boleh bertanding kerana dia hanya letak jawatan di kerusi Parlimen.

"Namun kalau beliau nak kembali bertanding di Parlimen, itu akan jadi masalah. Selepas meletak jawatan di Parlimen, beliau tidak boleh bertanding semula di kerusi tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas demonstrasi proses pengundian dan susun atur dalam bilik mengundi kepada media di sini, Rabu.

Pada Selasa, Wan Azizah memberitahu beliau akan mempertimbangkan secara serius kemungkinan untuk bertanding di kerusi DUN pada PRU-13.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas di mana kawasan yang akan ditandinginya nanti.

Wan Azizah meletak jawatan selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh, empat tahun lalu.

Artikel Lain