suria

SPAD Pantau Projek MRT Supaya Tiada Kelewatan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memantau perkembangan projek MRT bagi memastikan tiada kelewatan dalam membangunkan pelan pengangkutan awam terbesar di negara ini.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, beberapa badan dan pihak berkuasa turut terlibat dalam jawatankuasa exco dan teknikal yang memantau projek ini di mana suruhanjaya bertindak sebagai sekretariat kepada jawatankuasa berkenaan.

“Kami dengan sukacitanya bahawa projek ini mengikut jadual dan akan memantau perkembangannya. Terdapat banyak kepentingan awam dalam projek MRT,” katanya selepas pembukaan Forum Pengangkutan Awam Darat di sini, Rabu.

Pembinaan laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer dimulakan di beberapa lokasi sejak Julai tahun lepas, termasuk di Sungai Buloh, Jalan Duta dan Cheras.

Projek MRT itu akan mempunyai 31 perhentian dan dijangka siap pada 2017.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Hamid berkata, Malaysia melakukan transformasi pengangkutan awam bandar dengan pesat dan komitmen kerajaan dapat dilihat berdasarkan rekod membelanjakan lebih RM50 bilion dalam pengangkutan rel sejak 1990-an.

“Projek rel sehingga 2020 dapat menyaksikan pelaburan lebih banyak iaitu RM160 bilion. Oleh itu, adalah penting untuk mempunyai strategi yang sepatutnya dan pelan tindakan untuk mengembangkan industri rel tempatan secara kukuh, mapan dan berupaya memenuhi permintaan pasaran,” kata beliau.

Syed Hamid menjadikan projek MRT sebagai contoh pembangunan yang paling signifikan dalam industri pengangkutan negara, yang akan menjadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan di Lembah Klang.

Artikel Lain