Pensijilan Halal Jakim Diterima Di Indonesia - Mustapha - Semasa | mStar

Pensijilan Halal Jakim Diterima Di Indonesia - Mustapha

JAKARTA: Pernigaan produk halal Malaysia di Indonesia tidak lagi ada halangan daripada segi pensijilan halal kerana sijil dan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diiktiraf dan diterima di Indonesia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkembangan ini melegakan pengusaha produk halal Malaysia yang sebelum ini terpaksa berdepan dengan kesulitan untuk memasarkan produk mereka ke Indonesia disebabkan masalah pensijilan halal.

"Berita yang menggembirakan ini disahkan dalam mesyuarat MABIMS (mesyuarat tidak rasmi Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) (MABIM) pada Mei lalu. Kalau sebelum ini, pengusaha terpaksa melalui pelbagai proses yang rumit, kini semuanya sudah diselesaikan.

"Kita berterima kasih kepada pemerintah Indonesia yang membenarkan logo halal keluaran Jakim di negara mereka," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mempengerusikan Sesi Meja Bulat Perniagaan Halal Malaysia-Indonesia di sini.

Dengan pengesahan itu, kini pensijilan dan logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim dan yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) boleh diterima dan digunakan di Malaysia dan Indonesia.

Sesi meja bulat itu, yang dianjurkan oleh Halal Industry Development Corporation (HDC) Malaysia adalah yang pertama di sini dan yang kedua dengan pengusaha produk halal Indonesia selepas sesi sama di Malaysia tidak lama dulu.

Sesi kali ini disertai 30 pengusaha produk halal dari Malaysia dan 60 pengusaha produk halal dari Indonesia yang dianjurkan secara kerjasama antara HDC dengan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia (KADIN).

Pengiktirafan sijil dan logo halal Jakim itu akan membuka lebih banyak peluang kepada pemasaran produk halal Malaysia ke Indonesia, yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia.

Mustapa berkata, pada tahun lalu, jumlah dagangan produk halal Malaysia di pasaran dunia bernilai RM1.8 bilion.

"Berita ini masih baru dan tidak semua pengusaha yang menyedarinya. Justeru, kementerian akan menggerakkan pelbagai program untuk meluaskan lagi hebahan berita ini bagi mendorong pengusaha Malaysia mengeksport produk mereka ke Indonesia," katanya.

Pada sesi meja bulat itu, menteri itu juga mempelawa pengusaha produk halal Indonesia supaya mengambil peluang mendirikan kilang mereka di beberapa taman halal yang terdapat di Malaysia.

"Kita mahu syarikat-syarikat Indonesia supaya berkunjung ke Malaysia dan mendirikan kilang di taman halal yang sudah kita sediakan bagi membolehkan produk mereka bukan saja dijual ke negara-negara ASEAN, bahkan juga di seluruh dunia," katanya.

Taman-taman halal yang ditempatkan di Melaka, Johor dan Kelantan, katanya, bersedia menawarkan peluang kepada para pengusaha Indonesia yang berminat. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain